Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional melancarkan aplikasi mudah alih myPTPTN merangkumi semakan penyata pinjaman, bayaran balik pinjaman, pembukaan akaun dan penambahan deposit Skim Simpanan Pendidikan Nasional, permohonan potongan gaji serta debit terus bagi bayaran balik pinjaman. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PTPTN umum dividen tiga peratus SSPN 2021

KUALA LUMPUR, 23 FEB: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) semalam mengumumkan dividen Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) tahun lepas sebanyak tiga peratus bagi dua produk simpanan iaitu Simpan SSPN Prime dan Simpan SSPN Plus.

Pengerusinya Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata ia membabitkan pemberian dividen dengan anggaran peruntukan RM206.25 juta dan akan memberi manfaat kepada 5.24 juta pendeposit PTPTN.

“Kadar dividen yang diberikan kepada pendeposit Simpan SSPN adalah berdasarkan kepada pulangan bersih pelaburan yang telah dibuat atas deposit yang diterima oleh PTPTN.

“Dividen yang diberikan ini masih lagi kompetitif berbanding keuntungan akaun semasa dan simpanan tetap. Ia juga mengambil kira mandat pelaburan PTPTN yang dibenarkan adalah terhad dalam pasaran wang dan pasaran sukuk,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengumumkan dividen Simpan SSPN tahun 2021 dan melancarkan Ganjaran Kesetiaan Simpan SSPN Prime 2022 yang dihadiri Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid dan Ketua Pegawai Operasinya Mastura Mohd Khalid.

Wan Saiful berkata pemberian dividen pada kadar tiga peratus itu jelas menunjukkan bahawa Simpan SSPN tetap mempunyai daya saing berbanding produk-produk simpanan lain yang ditawarkan di pasaran walaupun dalam ekonomi negara tidak menentu.

Beliau turut berharap ini dapat menarik minat masyarakat Malaysia untuk menjadikan Simpan SSPN sebagai pilihan utama simpanan pendidikan anak-anak.

Katanya selain pemberian dividen, Simpan SSPN turut menawarkan pelepasan taksiran cukai sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful dan geran sepadan secara percuma sehingga RM10,000 bagi tiap keluarga yang layak.

Sementara itu Wan Saiful turut melancarkan Kempen Ganjaran Kesetiaan Simpan SSPN Prime 2022 pada kadar satu peratus sebagai tanda penghargaan PTPTN kepada pendeposit yang membuat simpanan dalam jangka masa panjang.

Beliau berkata tempoh promosi bermula 22 Februari sehingga 30 April tahun ini dan layak disertai oleh pendeposit yang membuka akaun Simpan SSPN Prime pada 2004 hingga 31 Dis 2018.

Katanya ganjaran kesetiaan ini akan dinikmati pendeposit Simpan SSPN Prime yang membuat simpanan terkumpul dalam tempoh promosi dengan jumlah minimum RM500 dan sangat berbaloi sebagai pulangan tambahan selain dividen tahunan.

-BERNAMA


Pengarang :