Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud (dua, kanan) menyertai operasi menyerbu pusat kecantikan tidak berlesen serta dikendalikan warga asing di Southville City pada 21 Februari 2022. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Pusat kecantikan tawar khidmat pembedahan plastik, botoks tanpa tauliah diserbu

DENGKIL, 21 FEB:  Kegiatan menawarkan pelbagai perkhidmatan kecantikan dengan harga lebih murah daripada pusat kecantikan berlesen serta bertauliah terbongkar apabila lapan premis dikendalikan warga asing diserbu oleh Jabatan Imigresen hari ini.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata dalam serbuan di sekitar Lembah Klang, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang itu, sebanyak 21 individu ditahan terdiri daripada lima wanita warga Indonesia, 15 wanita warga Vietnam dan seorang lelaki warga Vietnam berumur 25 hingga 40 tahun.

Beliau berkata kesemua ditahan dipercayai pekerja di premis berkenaan yang beroperasi sejak 2019 dan menawarkan perkhidmatan kecantikan dengan mengenakan caj murah antara RM350 hingga RM8,000.

“Kesemua ditahan didapati bekerja di premis menyediakan perkhidmatan termasuk rawatan kompleks memerlukan penggunaan peralatan perubatan tertentu seperti Rhinoplasty bagi rawatan mencantikkan hidung, rawatan suntikan bagi membesarkan anggota badan tertentu, rawatan pemutihan gigi, suntikan vitamin C dan botoks, selain perkhidmatan menguruskan badan.

“Rata-rata pelanggan tertarik modus operandi mereka yang mengenakan caj seperti suntikan di bahagian mata (eye filler) berharga RM350, suntikan membesarkan payu dara (RM1,900) dan suntikan botoks (RM3,500) manakala pembedahan plastik mengenakan caj RM8,000,” katanya dalam sidang media selepas menyertai operasi berkenaan di Southville City di sini hari ini.

Khairul Dzaimee berkata pusat kecantikan berkenaan mempromosikan perkhidmatan mereka melalui media sosial bagi menarik minat pelanggan yang mahu mendapatkan perkhidmatan tersebut.

“Mereka menggunakan platform Wechat, Facebook selain Instagram bagi tujuan tersebut dan rata-rata pelanggan adalah warganegara Malaysia seperti suri rumah dan pegawai eksekutif,” katanya.

Beliau berkata hasil siasatan juga mendapati kesemua ditahan tidak mempunyai kemahiran profesional serta tidak diiktiraf Kementerian Kesihatan (KKM) yang boleh mendatangkan risiko kematian, kerosakan organ dan tubuh badan.

Menurutnya, kesemua suspek ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) iaitu masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pasport atau pas sah serta tinggal lebih masa selepas tamat tempoh selain Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial.

— BERNAMA

 


Pengarang :