Seorang peniaga ayam sedang melayan pelanggan yang mengunjungi gerainya ketika tinjauan Media Selangor di Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan pada 12 Februari 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

Rakyat mahu jualan ayam RM8 dilanjutkan, tambah kuota bekalan peniaga

SERI KEMBANGAN, 12 FEB: Pengunjung Pasar Borong Selangor berharap kuota ayam yang dibekalkan kepada peniaga dapat dipertingkat, selain tempoh program dilanjutkan supaya lebih ramai rakyat dapat menerima manfaatnya.

Abdul Haziq Yusuf, 32, berkata beliau sudah beberapa kali membeli ayam pada harga jualan murah sejak program itu dilaksanakan pada Isnin lalu.

“Namun, hari ini saya tidak sempat membelinya kerana peniaga memaklumkan pengunjung agak ramai dan ayam dijual pada harga murah sudah mencecah kuota ditetapkan.

“Mungkin Kerajaan Negeri perlu menambah had bekalan ditetapkan supaya lebih ramai rakyat mendapat manfaat,” katanya kepada SelangorKini.

Suri rumah K.Tamilselvee, 46, menyifatkan jualan ayam murah menerusi Program Intervensi Harga Makanan Ehsan banyak membantu meringankan beban rakyat.

“Memang ketika ini hendak cari bekalan ayam susah dan usaha seperti ini memudahkan orang ramai kerana tidak perlu pergi banyak tempat.

“Saya datang ke pasar hari ini kerana hendak ke rumah adik dan mendapati tidak sukar mencari ayam selain dapat beli pada harga murah,” katanya.

Hambali Maan, 53, pula berkata pelaksanaan program ini wajar dilanjutkan kerana memudahkan urusan rakyat dalam mencari keperluan harian.

“Selain bekalan mudah didapati ia sekaligus dapat membantu rakyat membeli barangan pada harga yang berpatutan.

“Saya berharap program ini dapat diteruskan dan kerajaan dapat mengkaji masalah ini supaya rakyat tidak terbeban,” katanya.

Kerajaan Selangor menjual ayam standard dengan harga siling RM8 sekilogram selama dua minggu bermula Isnin lalu bagi mengurangkan beban kenaikan harga barang makanan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penjualan melibatkan 50,000 ekor ayam itu dijalankan di Wisma PKPS serta Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan.

Inisiatif menerusi Program Intervensi Harga Makanan Ehsan membabitkan dana RM1 juta itu akan dipanjangkan ke kawasan Dewan Undangan Negeri dan parlimen sekiranya mendapat sambutan.


Pengarang :