EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim (tengah) menyerahkan bantuan kepada kakitangan yang juga mangsa banjir di Foyer Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 8 Februari 2022. Foto NORRASYIDAH ARSHAD/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Ratusan staf agensi negeri terkesan bah dapat tunai, barang elektrik

SHAH ALAM, 9 FEB: Lebih 700 kakitangan bawah Jawatankuasa Tetap Infrastruktur yang terkesan akibat banjir besar tahun lalu menerima bantuan tunai dan perkakas elektrik.

Agensi terlibat ialah Jabatan Kerja Raya, Lembaga Urus Air Selangor dan Pengurusan Air Selangor dengan keseluruhan sumbangan berjumlah RM870,000.

EXCO berkenaan Ir Izham Hashim berkata bantuan tersebut bagi meringankan beban mangsa yang terjejas selepas mengalami kerugian dan kehilangan harta benda.

“Mereka menerima bantuan antara RM500 hingga RM2,000 mengikut tahap kerosakan rumah masing-masing. Harap ia membantu mereka,” katanya ditemui di bangunan pusat pentadbiran negeri semalam.

Beliau menambah bantuan sama turut diagihkan kepada beberapa kakitangan Majlis Sukan Negeri Selangor atas kapasitinya sebagai presiden Kelab Kanu Selangor.

Sumbangan diperuntuk oleh tiga syarikat swasta iaitu Berjaya Land Berhad, Selia Senggara Sdn Bhd dan Delight 2000 Holdings Sdn Bhd.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember tahun lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180mm mengakibat banyak lokasi negeri ini ditenggelami air.

 


Pengarang :