Penduduk setempat Syahrul Anuar Hamid, 32, (kiri) dan Hafizi Johari, 39, membuat tinjauan paras air Sungai Manal susulan paras air sungai itu semakin naik dan sebagai langkah bersiap sedia berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) berhampiran di Kampung Manal di sini pada 27 Februari 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Remaja lelaki korban kedua banjir Kelantan

KOTA BHARU, 28 FEB: Seorang remaja lelaki berumur 13 tahun menjadi korban kedua banjir di Kelantan selepas ditemukan lemas di Kampung Talang dekat Kadok di sini pada 7.15 malam semalam.

Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata Mohamad Fazli Tamri, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Kubang Kiat di sini, dipercayai sedang menunggang basikal bersama rakannya sebelum tergelincir dan terjatuh ke dalam tali air di kampung itu pada 6.20 petang.

“Rakannya cuba menyelamatkan mangsa, bagaimanapun gagal dan telah memanggil penduduk berdekatan untuk meminta pertolongan.

“Operasi mencari berjaya menemukan mangsa kira-kira 50 meter dari tempat dia terjatuh,” katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

Muhamad Zaki berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk proses bedah siasat dan tindakan selanjutnya.

Terdahulu, seorang warga emas lelaki berusia 70 tahun menjadi korban pertama banjir di Kelantan yang turut ditemukan lemas hari ini di Kampung Kuala Gris dekat Dabong, Kuala Krai pada 7 malam.

– BERNAMA


Pengarang :