Sukarelawan Pusat Wanita Berdaya DUN Sri Serdang membuat persiapan menyusun barangan sumbangan untuk diserahkan kepada penerima ketika Program Bantuan Susu dan Lampin Pakai Buang kepada Golongan Penerima B40 di Dewan Serbaguna MPSJ Kampung Sri Aman, Puchong pada 15 Disember 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Negeri sedia peruntukan RM5 juta bagi perkasa wanita Selangor

SHAH ALAM, 27 FEB: Sebanyak RM5 juta diperuntukkan Kerajaan Negeri kepada Wanita Berdaya Selangor tahun ini bagi melaksanakan program pembangunan dan pemerkasaan kaum hawa.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Siti Kamariah Ahmad Subki berkata antara program yang bakal dianjurkan adalah Ekspo Hasil Suri Selangor (HaSSel) dan Tanjung Suri yang memberi tumpuan kepada ibu tunggal dan suri rumah.

“Ekspo ini bakal menjadi platform kepada kaum wanita untuk memasarkan hasil produk mereka sekali gus memberi peluang kepada pengunjung menyokong barangan tempatan.

“Buat kali kedua tahun ini kita meneruskan Projek Pengarusperdanaan Gender bagi melahirkan lebih ramai penggubal polisi dan penjawat awam yang mampu merangka dasar,” katanya kepada Selangor Journal.

Siti Kamariah berkata, dalam usaha menggalakkan perbincangan dan kajian bersifat akademik, Persidangan Wanita Selangor akan dianjurkan pada Ogos ini.

Selain itu, beliau menjelaskan Akademi Kepimpinan Wanita dan biasiswa sepanjang hayat juga diteruskan bagi pengambilan ketiga tahun ini supaya lebih ramai wanita dapat melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Kita akan terus memberi tumpuan kepada usaha membendung keganasan rumah tangga melalui Talian SELamat 03-6419 5027 yang beroperasi 24 jam,” katanya.

Sempena Hari Wanita Sedunia pada Mac ini, Siti Kamariah berharap nasib golongan wanita terus terbela sekali gus dapat mengurangkan jurang antara gender.


Pengarang :