Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak Mohammad Yusoff Abustan (kiri) menahan sebuah kenderaan berat ketika Operasi Bersepadu Kenderaan Perdagangan di Plaza Tol Ipoh Utara (Arah Selatan) hari ini. Operasi yang dijalankan itu melibatkan seramai 96 kekuatan anggota dari pelbagai agensi adalah bertujuan untuk memastikan kenderaan perdagangan dan kenderaan perkhidmatan pengangkutan awam selamat digunakan. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Sangka masih moratorium antara alasan tidak perbaharui lesen, cukai jalan

IPOH, 18 FEB: “Eh, ingat masih moratorium”. Itu antara alasan yang diberikan pengguna jalan raya sewaktu disaman dalam Operasi Bersepadu Kenderaan Perdagangan di Plaza Tol Ipoh Utara (arah selatan) semalam.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak Mohammad Yusoff Abustan berkata dalam operasi itu, sebanyak 159 kesalahan dicatatkan termasuk tidak memperbaharui lesen memandu selain cukai jalan tamat tempoh dengan alasan moratorium yang sebenarnya tamat pada 31 Dis 2021.

“Ada antara pengguna jalan raya memberi alasan pelepasan moratorium kononnya akibat kesibukan rutin harian sehingga lupa untuk memperbaharui lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh,” katanya dalam sidang media pada operasi tersebut yang berakhir 12 tengah malam tadi.

Susulan itu, beliau menasihati pengguna jalan raya untuk sentiasa memeriksa lesen memandu lebih-lebih lagi menjelang ulang tahun kelahiran yang biasanya tamat tempoh pada hari tersebut.

“Kalau sudah terlepas tempoh, perbaharui lesen di mana-mana cawangan JPJ berdekatan, di pejabat pos dan MyEG Services Sdn Bhd (MyEG) selain kios perkhidmatan di beberapa lokasi seperti di JPJ Ipoh, Taiping, Manjung, Tapah dan Teluk Intan,” katanya.

Dalam operasi itu, antara kesalahan lain yang direkodkan adalah berkaitan dadah dan juga imigresen termasuk penangkapan seramai lima pendatang tanpa izin.

Operasi bersepadu itu membabitkan 96 kekuatan anggota dan pegawai daripada pelbagai agensi seperti Unit Penguatkuasa Lebuhraya (UPLR), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan kakitangan Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) selain JPJ.

– BERNAMA


Pengarang :