PETALING JAYA, 9 FEB: Putrajaya disaran menyediakan lebih banyak insentif untuk mengerakkan usahawan terutama industri kecil dan sederhana (IKS) ke arah digital.
EXCO Perindustrian Dato’ Teng Chang Khim berkata langkah itu tidak boleh dilengahkan supaya pemain industri mampu mengadaptasi teknologi digital sekali gus berdaya saing.
“Kita perlu mempercepat penggunaan teknologi terkini termasuk revolusi 4.0 tanpa teragak-agak. Lebih banyak inisiatif di pihak IKS atau besar diperlukan daripada kerajaan.
“Banyak yang perlu direnungkan dan berusaha untuk membaiki institusi ini termasuk infrastruktur digital,” katanya pada Majlis Makan Malam Tahun Baharu Cina di Hotel Sheraton malam tadi.
Turut hadir Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan isteri Datin Seri Masdiana Muhamad serta Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad Dato’ Hasan Azhari Idris.
Dalam pada itu, Chang Khim mengakui negara memiliki ramai pekerja mahir bagi kelangsungan ekonomi dan kelebihan tersebut tidak boleh hilang kepada pesaing.
Beliau turut memaklumkan Malaysia berada di belakang negara jiran daripada aspek aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) di sebalik kelebihan dinikmati ketika ini.
“Situasi ini adalah nyata. Perkara ini berlaku empat tahun berturut-turut,“ katanya lagi.