Pengawal trafik di Sekolah Rendah Kebangsaan King Geogre ke-V (KGV) Seremban memastikan murid-murid melintas dengan selamat untuk memasuki pekarangan sekolah pada sesi persekolahan di Negeri Sembilan pada 10 Januari 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Sekolah diberi pilihan buat PdPR jika kes Covid-19 tinggi

KULAI, 23 FEB: Kementerian Pendidikan (KPM) memberi pilihan kepada sekolah rendah dan menengah untuk menjalankan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sekiranya penularan kes Covid-19 pada tahap tinggi.

Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Mohamad Alamin berkata kementerian kini memfokuskan kepada pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

“Memang kita sudah beri pilihan kepada sekolah rendah dan menengah, tingkatan satu hingga empat tidak perlu ke sekolah.

“Yang lain, mereka boleh buat PdPR dan sekolah rendah juga boleh memohon untuk mengadakan PdPR jika ada risiko penularan Covid-19. Kita sentiasa fleksibel dan menilai risiko dari semasa ke semasa,” katanya kepada Bernama selepas melawat Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Putra 2 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai pengoperasian sekolah dan tindakan KPM susulan peningkatan kes Covid-19.

Mohamad berkata KPM telah menyediakan panduan tatacara operasi piawai (SOP) kepada sekolah-sekolah untuk menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya berlaku jangkitan penularan Covid-19.

“Garis panduan telah kita sediakan. Kementerian Kesihatan (KKM) atau Pejabat Kesihatan Daerah akan sentiasa bantu KPM dan sekiranya ada kes Covid-19 di sekolah, kita akan lapor dan mereka akan buat penilaian risiko.

“Kalau berlaku kes di asrama, KKM akan menilai sama ada perlu diteruskan atau tutup…Kalau sampai tahap (kes tinggi) kita akan tutup, jika belum kita ambil langkah meminimumkan risiko supaya tidak menular dengan lebih teruk. Keputusan yang kita ambil adalah berdasarkan kepada keselamatan murid dan guru di sekolah,” katanya.

Sementara itu, Mohamad berkata KPM akan membuat keputusan berkenaan pelaksanaan ujian Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), dalam masa terdekat

Katanya kementerian masih meneliti dan berbincang perkara berkenaan sebelum membuat keputusan rasmi.

“Sama ada tangguh atau batal, kita masih dalam penilaian dan perbincangan. Kita akan selidik dan teliti pandangan yang diterima dan kita akan rumuskan. Saya percaya Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin akan keluarkan kenyataan dalam masa terdekat,” katanya.

Hari ini, media melaporkan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) menggesa KPM untuk menangguhkan atau membatalkan pelaksanaan PT3 atas faktor keciciran dilalui pelajar tingkatan tiga.

Presiden NUTP Aminuddin Awang dilaporkan berkata penangguhan itu penting kerana pelajar tingkatan tiga telah keciciran pelajaran apabila hanya belajar selama beberapa bulan pada 2020 dan 2021 susulan pandemik Covid-19.

-BERNAMA


Pengarang :