Bahagian siasatan dan penguatkuasaan trafik bersama Team Op Bersepadu Cegah Jenayah IPD Kuala Langat melakukan pemeriksaan ke atas orang ramai dalam Op Selamat 17 sempena sambutan perayaan Tahun Baharu Cina pada 31 Januari 2022. Foto Facebook Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kuala Langat
AGENDANASIONAL

Selangor catat 1,420 kemalangan dalam tempoh empat hari pertama Op Selamat 17

SHAH ALAM, 1 FEB: Op Selamat 17 Polis Kontinjen Selangor sempena sambutan Perayaan Tahun Baharu Cina 2022 catatkan 1,420 kes kemalangan dalam tempoh empat hari pertama, kata Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed.

Bagaimanapun beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini berkata jumlah itu merupakan penurunan sebanyak 30.87 peratus atau 634 kes berbanding empat hari pertama Op Selamat 16 pada Tahun Baharu Cina 2020 yang mencatatkan 2,054 kes.

“Sejak dilancarkan pada 28 Jan lepas, daripada jumlah kes kemalangan jalan raya direkodkan, 219 kemalangan berlaku di lebuh raya, 96 kemalangan di jalan persekutuan, 182 kemalangan di jalan negeri, 825 kemalangan di jalan bandaran dan 98 kemalangan di lain-lain jalan,” katanya.

Bagi kes kemalangan maut pula, sebanyak lapan kes telah direkodkan yang kesemuanya melibatkan penunggang motosikal.

“Jumlah ini juga menunjukkan penurunan sebanyak enam kes, di mana dalam Op Selamat 16 tahun 2020, sebanyak 14 kes kematian direkodkan yang melibatkan 11 penunggang motorsikal dan tiga kes pejalan kaki,” katanya.

Beliau berkata sejumlah 11,464 saman pelbagai kesalahan turut dikeluarkan pihaknya yang melibatkan kesalahan melebihi had laju (10,879); tidak mematuhi lampu isyarat (318); menggunakan alat komunikasi semasa memandu (236); memotong barisan (27); memotong garisan berkembar (tiga) dan pandu di lorong kecemasan (satu).

Op Selamat 17 sedang dilaksanakan selama 10 hari sehingga 6 Feb, 2022.

– BERNAMA


Pengarang :