Duli Yang Maha Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah (kanan) berkenan menerima replika kunci bas tajaan Konsortium E-Mutiara Berhad pada 12 Februari 2022. Foto laman web Selangor FC
AGENDASUKANKINI

Selangor FC dapat tajaan bas dua tingkat berwajah baharu

SHAH ALAM, 13 FEB: Selangor FC semalam menerima tajaan sebuah bas dua tingkat berwajah baharu hasil perjanjian bersama Konsortium E-Mutiara Berhad (E-Mutiara) sejak 2019.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Dr Johan Kamal Hamidon berkata tajaan itu isyarat buat semua pihak dalam apa juga bidang untuk kekal bekerjasama dengan kelab bola sepak tempatan.

Beliau turut gembira dan berterima kasih atas sokongan berterusan syarikat E-Mutiara yang membantu pengangkutan pasukan itu sepanjang liga berlangsung.

“Selangor FC akan melakukan sedaya upaya untuk membalas kepercayaan yang diberikan.

“Kerjasama ini jelas membuktikan bola sepak masih relevan sebagai platform untuk syarikat melabur dan berkongsi kepakaran antara satu sama lain,” katanya dalam kenyataan di laman web Selangor FC.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif E-Mutiara Che Ibrahim Che Ismail berbesar hati dapat menaja Selangor FC selama empat musim dan komited menaikkan semula nama pasukan itu.

”E-Mutiara juga menjadi salah satu penaja jersi latihan pasukan Selangor FC musim ini selain mendapat penjenamaan di stadium, laman web dan media sosial mereka,” katanya.

 


Pengarang :