Dato’ Teng Chang Khim (tiga, kiri) bersama Tan Chun Aik (dua, kanan) menandatangani Perjanjian Pelaburan Bagi Pembangunan Agenda Cashless dan E-Servis Selangor di Pejabat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Shah Alam pada 14 Februari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Selangor perkenal e-dompet, permudah bantuan kepada rakyat

SHAH ALAM, 14 FEB: Penerima bantuan Kerajaan Selangor selepas ini menerima sumbangan menerusi e-dompet sekali gus mempercepat agihan kepada golongan sasar.

EXCO Perdagangan dan Perindustrian Dato’ Teng Chang Khim berkata inisiatif itu bertujuan memudahkan urusan serta menjimatkan masa penerima yang amat memerlukan bantuan.

“Jika perancangan berjalan baik ia akan dilancar dengan pengumuman nama e-dompet itu dalam tempoh tiga bulan lagi.

“Inisiatif ini juga meningkatkan kecekapan perkhidmatan antara kerajaan, rakyat serta industri kecil dan sederhana yang lengkap dalam satu dompet digital,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas memeterai perjanjian pelaburan bagi pembangunan e-dompet bersama pengasas Kumpulan Syarikat Wavpay,Tan Chun Aik di Pejabat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI di sini.

Beliau berkata e-dompet itu akan menghimpunkan semua perkhidmatan perniagaan kerajaan Selangor, pihak berkuasa tempatan (PBT), badan berkanun dan anak syarikat negeri.

“Aktiviti seperti pembayaran cukai kepada pihak berkuasa tempatan dan pembayaran parkir tanpa tunai juga boleh dilaksanakan melalui platform ini,” katanya.

Pada Belanjawan 2022 yang dibentang November lalu, Dato’ Menteri Besar berkata Selangor akan melancarkan perkhidmatan e-dompet bagi mewujudkan komuniti nirtunai (tanpa tunai).

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, Selangor e-Wallet Sdn Bhd ditubuhkan untuk menjalankan usahasama dengan syarikat e-dompet sedia ada.


Pengarang :