Dr Siti Mariah Mahmud (dua kiri) menerima kit kesihatan daripada wakil Selgate sempena pelancaran Sukarelawan Komuniti Kesihatan Selangor (Suka) 2021 di Dataran Ilmu Bandar Baru Selayang, Gombak pada 14 Oktober 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor perkenal program CanSEL bantu rawat, pulih pesakit barah

SHAH ALAM, 4 FEB: Kerajaan Negeri memperkenal program Kanser Selangor (CanSEL) bagi membantu proses rawatan dan pemulihan pesakit barah.

EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud berkata inisiatif yang menyasarkan rakyat di 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) dilaksana serentak dengan program Saring Selangor membabitkan kerjasama pelbagai pemegang taruh.

“Program ini menyediakan kemudahan ujian pengesanan awal meliputi ujian mamogram, kolorektal, dan prostat,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Beliau berkata sejak tahun lepas, Selangor memberi komitmen terhadap pembangunan solusi penjagaan barah yang mampan melalui inisiatif City Cancer Challenge (CCAN).

Menurutnya, perancangan usaha berkenaan membabitkan Shah Alam, Subang Jaya dan Petaling Jaya.

“Komitmen terhadap CCAN juga diberikan oleh pelbagai badan termasuk Universiti Malaya (UM), National Cancer Society of Malaysia (NCSM), hospital serta pusat penjagaan swasta dan sebagainya.

“Hal ini termasuklah penglibatan dalam program jaringan CCAN yang diadakan pada 29 Januari 2022 sebagai medan bertukar-tukar pandangan mengenai solusi penjagaan kanser,” katanya.

Sementara itu, Siti Mariah berkata sambutan Hari Kanser Sedunia yang disambut setiap 4 Februari merupakan peringatan bagi masyarakat untuk menilai kewujudan jurang barah atau gender di negara ini.

Katanya jurang barah harus dinilai dalam beberapa aspek meliputi fasiliti saringan awal, rawatan, ubat-ubatan dan penjagaan kanser mampu milik dan diakses pesakit serta ahli keluarga.

“Semoga usaha-usaha ke arah ‘Mendekatkan Jurang Kanser’ dapat dilakukan secara kolektif dan efisien demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

 


Pengarang :