Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (dua, kiri) menyerahkan cek cura berjumlah RM1 juta kepada Presiden dan Naib Canselor Universiti Selangor (Unisel) Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman (kanan) sempena pelancaran Institut Pemikiran dan Kepimpinan Siddiq Fadzil di Dewan Pro Canselor, Unisel Shah Alam pada 17 Februari 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Selangor tambah RM4 juta lengkapkan penubuhan Kursi Siddiq Fadzil

SHAH ALAM, 17 FEB: Kerajaan Negeri bersetuju menambah RM4 juta bagi melengkapkan penubuhan Kursi dan Institut Pemikiran dan Kepimpinan Siddiq Fadzil di Universiti Selangor (Unisel).

Tambahan kepada dana RM1 juta yang diperuntuk dalam Belanjawan 2022 untuk menyempurnakan lagi proses penterjemahan karya cendekiawan itu, kata Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

“Saya sudah berbincang dengan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) dan kita setuju tambah RM4 juta menjadikan jumlah keseluruhan RM5 juta untuk institut ini,” katanya pada pelancaran institut tersebut dan peluncuran buku di Unisel hari ini.

Hadir sama Pengerusi Emeritus Institut Antarabangsa Pemikiran Islam Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Amirudin berkata tambahan dana itu juga bagi menghargai ilmuwan berkenaan yang banyak berjasa kepada negara dalam memartabatkan bahasa Melayu dan agama Islam.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap sempena pelancaran Institut Pemikiran dan Kepimpinan Siddiq Fadzil di Dewan Pro Canselor, Universiti Selangor (Unisel) Shah Alam pada 17 Februari 2022. Foto REMY ARIFIN/ SELANGORKINI

Beliau turut memuji corak pemikiran tokoh tersebut yang sentiasa positif sepanjang lebih 40 tahun bergerak dalam dakwah Islam, yang perlu dicontohi ramai.

“Tidak pernah sekali pun saya dengar hujah, ceramah beliau membenci, menghina apatah lagi mencerca bangsa majmuk dalam Malaysia. Konteks ini harus diterjemah dan ditonjolkan oleh semua orang,” katanya.

Kursi Siddiq Fadzil ditubuhkan di Unisel bagi memperingati ketokohan Allahyarham Dato’ Dr Siddiq Fadzil yang berpengaruh dalam bidang akademik dan kebudayaan Melayu.

Almarhum yang meninggal dunia pada 31 Ogos tahun lalu pernah menjadi presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya dan presiden PKPIM sekitar 1970-an, presiden ABIM dan presiden Wadah.

Bapa kepada tujuh anak itu juga pernah menyandang jawatan pengerusi Akademi Kajian Ketamadunan, ahli panel Akademi Pengurusan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), pengerusi Institut Darul Ehsan (IDE), pengerusi Kajian Maqasid Shariah IDE dan pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia.


Pengarang :