Petugas memantau situasi semasa sekitar Kuala Lumpur di bilik kawalan Terowong Smart. Foto Facebook Smart Tunnel
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Selangor teliti cadangan bina terowong Smart di Shah Alam

SHAH ALAM, 5 FEB: Kapasiti dan formula berhubung Terowong Jalan Raya dan Pengurusan Air Banjir (Smart) yang mahu dibina di sini akan diteliti dan dibentangkan di peringkat Kerajaan Selangor.

Dato’ Menteri Besar berkata EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim sedang mengumpulkan segala maklumat bagi memudahkan proses keseluruhan.

“Kita memang lihat ada pelbagai kaedah. Terowong satu daripadanya selain takungan dalam sebagaimana teknologi di Jepun serta takungan di persisir sungai.

“Semua ada dalam kaedah penyelesaian tetapi cabaran kita bagaimana hendak laksanakan dengan cepat dan berkesan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika ditemui di Wisma Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor hari ini.

Beliau berkata pihaknya mengalu-alukan pandangan berkaitan terowong terbabit namun perlu melihat sama ada ia mampu menampung lebihan air.

“Apa yang berlaku dalam kejadian lepas (banjir pada Disember lalu) saliran tidak mampu menampung taburan hujan lebat diikuti fenomena air pasang besar,” katanya.

Semalam Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata terowong Smart yang ada di Kuala Lumpur bakal dibina di bandar berkepadatan tinggi seperti Shah Alam sebagai langkah jangka panjang menyelesaikan masalah banjir.


Pengarang :