EXCO Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal, Mohd Zawawi Ahmad Mughni ketika diwawancara Media Selangor di Bangunan Pentadbiran Kerajaan Negeri (SUK), Shah Alam pada 28 Februari 2022. Foto REMY ARIFIN /SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMAEXCONASIONALSELANGOR

Selhac: Elak sesak, kehadiran pengunjung ikut zon

SHAH ALAM, 28 FEB: Kehadiran orang ramai ke Persidangan Antarabangsa Halal Selangor (Selhac) di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini bakal dilaksanakan mengikut zon bagi mengelakkan kesesakan di lokasi itu.

EXCO Industri Halal berkata hari pertama program pada 4 Mac ini dikhaskan untuk pengunjung dari zon tengah iaitu Klang, Petaling dan Gombak manakala hari kedua bagi zon selatan iaitu Sepang, Hulu Langat serta Kuala Langat.

Pengunjung dari zon utara iaitu Sabak Bernam, Kuala Selangor dan Hulu Selangor pula pada hari terakhir penganjuran.

“Kita cadangkan kepada Halal International Selangor (HIS) supaya menekankan soal keselamatan sepanjang program tersebut dengan membuat penjadualan bagi mencegah wabak.

“Pengunjung juga disyaratkan lengkap dua dos vaksin Covid-19 selain sentiasa menjaga tatacara operasi piawai (SOP). Kita akan tempatkan petugas untuk kawal pergerakan mereka,” kata Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Sementara itu, beliau berkata persiapan bagi acara selama tiga hari itu sudah mencecah lebih 90 peratus dan hampir semua pempamer sudah memasang gerai masing-masing.

“Persiapan kini di peringkat akhir dan semua pihak berusaha memberikan sentuhan terbaik agar dapat mencapai objektif ditetapkan,” katanya.

Mohd Zawawi menambah 131 tapak pameran habis ditempah 80 syarikat dan agensi kerajaan dalam sektor makanan dan minuman, farmaseutikal, kecantikan dan penjagaan diri, hospitaliti, pelancongan serta fesyen.

“Program ini diharap dapat membantu usahawan memasarkan produk mereka kepada pengguna, selain membina rangkaian perniagaan dengan pemain industri seterusnya merancakkan lagi industri ini,” katanya.

Selhac yang dibuka mulai jam 10 pagi hingga 9.30 malam menampilkan tiga komponen iaitu forum, ekspo dan padanan perniagaan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dijadual merasmikan persidangan berkenaan pada 4 Mac.

Sehubungan itu, orang ramai dijemput hadir beramai-ramai bagi mendapatkan pelbagai maklumat mengenai industri halal.


Pengarang :