Anggota polis menunjukkan sijil suntikan vaksinasi Covid-19 palsu yang dikeluarkan oleh sebuah klinik swasta pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu pada 10 Januari 2022. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Senarai hitam doktor jual sijil vaksin palsu, komplot sebar penyakit

SHAH ALAM, 3 FEB: Kerajaan Negeri menyarankan Kementerian Kesihatan Malaysia menyenarai hitam pengamal perubatan terbabit kegiatan penjualan sijil vaksin palsu.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata dianggarkan 5,000 individu sedang disiasat dan bakal didakwa di mahkamah kerana menipu serta berkomplot menyebarkan penyakit berjangkit dalam negara.

“Agak malang kes ini berlaku di Selangor. Walaupun bermula di Terengganu namun menerusi komputer riba yang dirampas mendapati ada ribuan kes mendapatkan vaksin secara tidak sah di Selangor.

“Kita sedang kenal pasti adakah mereka mengambil vaksin atau sekadar mengemas kini MySejahtera tanpa menyuntik vaksin,” katanya pada sidang media di Bilik Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor di sini hari ini.

Beliau turut menasihatkan rakyat Malaysia khususnya di Selangor supaya tidak terpengaruh dengan sindiket penjualan sijil vaksin tersebut.

Sementara itu, Amirudin berkata kempen pemberian dos penggalak akan dipergiat bagi mengurangkan kesan jangkitan Covid-19 terhadap masyarakat.

“Sebanyak 150,000 dos disediakan Kerajaan Negeri dengan 60,000 daripadanya telah diagihkan,” katanya.

Pada 29 Januari lalu, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menzahirkan rasa dukacita susulan kegiatan tidak bermoral segelintir pengamal perubatan yang menawarkan serta menjual sijil digital vaksin Covid-19 palsu kepada orang ramai.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj meminta pihak berkuasa negeri ini menyiasat, menangkap dan mengambil tindakan tegas ke atas mereka yang didapati menyalahguna kuasa sebagai pengamal perubatan.


Pengarang :