Penggunaan aplikasi Smart Selangor Parking (SSP) menjimatkan masa pengguna yang tidak perlu lagi membeli kupon bergores mengikut pihak berkuasa tempatan (PBT). Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Sistem parkir digital mudahkan pengguna, tidak perlu beli kupon setiap PBT

SHAH ALAM, 18 FEB : Pelaksanaan sistem parkir digital menerusi aplikasi Smart Selangor Parking (SSP) menjimatkan pengguna yang tidak perlu lagi membeli kupon bergores mengikut pihak berkuasa tempatan (PBT).

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata kaedah itu lebih mudah dan mereka tidak lagi perlu terikat dengan mana-mana sempadan PBT.

“Sebagai contoh, kupon parkir kertas perlu mengikut PBT, sekiranya seseorang itu tinggal di Sepang dan bekerja di Ampang Jaya, banyak kupon parkir mereka perlu beli mengikut kawasan PBT di lokasi mereka berada.

“Kaedah ini selain berlakunya pembaziran kertas ia juga menyukarkan pengguna yang terpaksa mengumpul banyak kupon parkir kertas daripada pelbagai PBT,” katanya kepada SelangorKini.

Sze Han berkata sejak pelaksanaan SSP, Kerajaan Negeri dapat menjimatkan penggunaan kertas sebanyak 981,159 kilogram iaitu mencecah hampir 1,000 tan.

“Kerajaan Negeri melalui PBT dan Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) bercadang mahu anjurkan pelbagai kempen kesedaran bagi menarik lebih ramai orang memuat turun aplikasi ini dalam masa terdekat,” katanya.

Setakat 10 Februari lalu, seramai 1.89 juta pengguna memuat turun aplikasi SSP yang dibangunkan SSDU melibatkan 10 PBT iaitu :

– Majlis Bandaraya Shah Alam
– Majlis Bandaraya Petaling Jaya
– Majlis Bandaraya Subang Jaya
– Majlis Perbandaran Klang
– Majlis Perbandaran Kuala Langat
– Majlis Perbandaran Ampang Jaya
– Majlis Perbandaran Kajang
– Majlis Perbandaran Sepang
– Majlis Perbandaran Kuala Selangor
– Majlis Perbandaran Selayang


Pengarang :