Pasukan badminton lelaki negara muncul juara Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 di Pusat Konvensyen Setia City pada 20 Februari 2022. Malaysia berjaya menewaskan Indonesia 3-0 pada peringkat akhir kejohanan itu. Foto HAFIZ OTHMAN
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Skuad lelaki negara juara Badminton Asia, benam Indonesia 3-0

SHAH ALAM, 20 FEB: Skuad lelaki negara menjuarai Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 selepas menang bergaya membenam Indonesia 3-0 pada sebentar tadi.

Kejayaan itu membolehkan negara merangkul kejuaraan sulung sejak BATC diperkenalkan pada 2016 dan lebih manis dihadapan penyokong sendiri di Pusat Konvensyen Setia City di sini.

Jaguh perseorangan negara Lee Zii Jia yang menjadi sandaran mata pertama menang mengatasi Chico Aura Dwi Wardoyo dengan mata 14-21, 21-12 dan 21-10.

Gandingan pasukan beregu negara Chia Aaron-Soh Wooi Yik pada perlawanan kedua berjaya menewaskan Leo Rolly Carnando – Daniel Marthin dalam perlawan tiga set dengan mata 17-21, 21-13, 21-18.

Pemain perseorangan kedua negara, Ng Tze Yong meranapkan impian Indonesia apabila menumpaskan Ikhsan Leonardo Imanuel Rumbay dengan mata 21-14, 21-15.

Trofi kejuaraan disampaikan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Kejohanan selama enam hari mulai 15 Februari itu turut disertai Indonesia, India, Korea Selatan, Jepun, Singapura, Hong Kong dan Kazakhstan juga disiarkan secara langsung di Astro.


Pengarang :