Lima pegawai Majlis Amanah Rakyat (Mara) hadir memberi keterangan di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, berhubung dakwaan isu integriti dan salah guna kuasa, membabitkan anak syarikat agensi itu pada 11 Februari 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

SPRM dalam fasa akhir lengkapkan siasatan integriti pegawai Mara

KUALA LUMPUR, 17 FEB: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam fasa akhir melengkapkan siasatan membabitkan lima pegawai kanan Majlis Amanah Rakyat (Mara) didakwa terlibat dalam isu integriti.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata siasatan telah 99 peratus siap, dan apabila disiapkan ia akan diserahkan kepada Bahagian Perundangan dan Pendakwaan suruhanjaya, selain Timbalan Pendakwa Raya bagi tindakan lanjut.

“Selain pembabitan lima pegawai itu tadi, SPRM dalam masa sama sedang menyiasat berhubung dakwaan penyalahgunaan kad kredit korporat Mara Corporation (Mara Corp),” katanya dalam sidang media selepas majlis Pelancaran Program Excel ‘Corporate Liability and Organizational Anti-Corruption Plan’, di sini.

Menurutnya SPRM akan memberi fokus kepada aspek terma rujukan penggunaan kad kredit terbabit, sama ada boleh digunakan untuk tujuan peribadi atau rasmi dalam siasatannya, dan akan membuat kesimpulan keseluruhan berkenaan siasatan itu tidak lama lagi.

Pada 5 Februari lepas, SPRM mengesahkan menerima satu laporan berhubung dakwaan isu integriti melibatkan beberapa pegawai kanan MARA, yang sedang disiasat secara dalaman oleh agensi itu sebelum menyerbu dan merampas beberapa dokumen daripada Mara, Mara Corp dan sebuah syarikat setiausaha korporat pada 7 Februari.

Mengulas mengenai penyelewengan geran dana Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra), Ahmad Khusairi berkata 27 entiti termasuk syarikat, individu dan badan bukan kerajaan disiasat SPRM berhubung kes berkenaan.

Katanya SPRM telah menyiapkan kertas pendakwaan terhadap sekurang-kurangya 10 syarikat, dan dua individu akan dituduh di mahkamah di Ipoh dan Kuala Lumpur esok berkenaan penyelewengan dana berkenaan.

Sebelum ini, SPRM menahan 22 individu dalam operasi di tujuh negeri dalam siasatan berhubung Mitra.

Mengulas mengenai isu kontrak perolehan enam Kapal Tempur Pesisir Pantai (LCS) pula, Ahmad Khusairi berkata SPRM akan mengemukakan Bantuan Perundangan Bersama (MLA) berkaitan hal ehwal jenayah bagi menjalankan siasatan di luar negara berkenaan isu ini.

Beliau mengakui pihaknya mengalami kesukaran menyiasat isu LCS kerana ia membabitkan kes melebihi 10 tahun lepas, dan menurutnya SPRM membuka tiga kertas siasatan berhubung kes itu.

Sebelum ini SPRM menahan dua Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat yang disyaki terlibat dalam kontrak perolehan enam kapal LCS.

-BERNAMA


Pengarang :