Sebuah syarikat pembinaan lebuh raya didenda RM75,000 kerana melepaskan air larian permukaan melebihi kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling Jabatan Alam Sekitar (JAS). Foto ihsan JAS Selangor
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Syarikat bina lebuh raya didenda RM75,000 lepaskan air larian lebihi had

SHAH ALAM, 24 FEB: Sebuah syarikat pembinaan lebuh raya didenda RM75,000 kerana melepaskan air larian permukaan melebihi had diluluskan dalam Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA).

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor berkata hukuman dijatuhkan Hakim Mahkamah Seksyen Ampang Jumirah Marjuki selepas pengarah syarikat selaku orang kena saman mengaku bersalah.

“Menurut fakta kes, pada 11 September 2020 pegawai penguat kuasa JAS mendapati kandungan pepejal dalam air larian permukaan daripada tapak projek lebuh raya sebanyak 1,190 miligram per liter.

“Jumlah itu telah melebihi had yang dibenarkan dalam syarat kelulusan laporan EIA iaitu sebanyak 50 miligram per liter,” kata Nor Aziah Jaafar dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata syarikat terbabit melanggar Seksyen 34A(7) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang memperuntuk denda sehingga RM500,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya.

 


Pengarang :