Lembaga Tabung Haji mengumumkan kadar bayaran haji bagi 2022.
AGENDANASIONAL

Tabung Haji agih keuntungan 3.10 peratus

KUALA LUMPUR, 24 FEB: Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan agihan keuntungan sebanyak 3.10 peratus selepas zakat, membabitkan nilai RM2.46 bilion bagi tahun kewangan 2021.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad berkata agihan keuntungan itu akan dimanfaatkan kira-kira 8.4 juta pendeposit TH dengan jumlah keuntungan diagih RM219 juta lebih tinggi berbanding RM2.24 bilion bagi tahun kewangan 2020.

Jelasnya agihan keuntungan itu adalah kompetitif, mengambil kira faktor kadarnya lebih tinggi daripada purata kadar deposit tetap perbankan Islam bagi tempoh 12 bulan, iaitu 2.36 peratus.

“Kadar pulangan tahun 2021 adalah berpatutan setelah mengambil kira keadaan persekitaran perniagaan dan pasaran sukuk dan saham yang mencabar pada tahun lepas.

“Kedudukan kewangan TH terus kekal kukuh dengan aset berjumlah RM88.73 bilion melebihi liabiliti berjumlah RM85.51 bilion pada 31 Dis 2021,” katanya pada Majlis Pengumuman Agihan Keuntungan TH Tahun 2021, di Menara Tabung Haji di sini hari ini.

Idris berkata pulangan itu juga mengambil kira zakat yang akan dilunaskan bagi pihak pendeposit sebanyak RM107 juta.

Beliau berkata jumlah simpanan deposit yang dijamin kerajaan mencecah RM83.33 bilion iaitu jumlah tertinggi dalam sejarah TH sejak 59 tahun penubuhannya.

“Jumlah kos operasi juga menurun sebanyak empat peratus berbanding tahun 2020 hasil daripada langkah pengurusan kewangan yang berhemah,” katanya.

Turut hadir Pengerusi TH Tan Sri Azman Mokhtar dan Pengarah Urusan Kumpulan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif TH Datuk Seri Amrin Awaluddin.

Sementara itu Azman berkata nilai agihan keuntungan itu adalah berpatutan dan menepati jangkaan TH berdasarkan belanjawan insititusi itu selain faktor persekitaran ekonomi.

“Selain itu, kadar itu juga mengambil kira faktor TH sebagai tabungan bakal haji untuk masa depan pendeposit,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :