Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bergambar bersama pemenang ketika Majlis Penyampaian Anugerah Ikon Agro Selangor di Wisma PKPS, Shah Alam pada 7 Februari 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Tiga usaha tani dinobat Ikon Agro Selangor 2021, bawa pulang RM10,000 seorang

SHAH ALAM, 7 FEB: Tiga pengusaha pertanian mengungguli saingan akhir untuk dinobatkan sebagai Ikon Agro Selangor 2021 hari ini.

Mereka mengenepikan lima peserta lain yang turut disenarai pendek daripada 19 peserta yang menghantar penyertaan pertandingan sejak Oktober lalu.

Tiga Ikon Agro Selangor itu ialah penguasaha ternakan udang bara, Siti Nurul Aishah Zakariah; pengusaha tanaman buah naga, Sam Chia dan pengusaha cendawan, Peggy Cheng.

Penganugerahan itu melayakan mereka menerima hadiah wang tunai dan bantuan input agro bernilai RM10,000 serta trofi yang disampaikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Lima peserta lain layak menerima hadiah sagu hati wang tunai RM500, plak dan sijil penghargaan pada majlis yang diadakan di Dewan Orkid, Bangunan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di sini.

Penilaian juri berdasarkan penggunaan teknologi moden dan pengeluaran hasil yang menyumbang 70 peratus markah manakala baki ditentukan menerusi undian video di YouTube.

Ikon terpilih akan menjadi duta kecil untuk sektor pertanian Selangor selain membimbing agropreneur yang baharu berkecimpung dalam pertanian.


Pengarang :