Kejohanan Badminton Berpasukan Asia 2022 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City bakal membuka tirai pada 15 Februari. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Tiket percuma tonton Kejohanan Badminton Asia mulai Selasa

SHAH ALAM, 12 FEB: Orang ramai berpeluang menyaksikan Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 secara percuma di Pusat Konvensyen Setia City mulai 15 hingga 20 Februari.

Menurut sekretariat kejohanan, tempahan tiket secara dalam talian bagi sesi pagi dan petang dibuka sehari sebelum setiap pertandingan bermula 12 tengah hari hingga 11.59 malam.

Jelasnya, mereka yang berjaya menempah akan menerima tiket elektronik melalui e-mel, yang perlu dibawa bersama kad pengenalan atau nombor pasport sebelum memasuki tempat kejohanan.

“Begitupun, jumlah tiket dan tempat duduk terhad susulan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) ketat bagi memastikan keselamatan dan mengawal jangkitan Covid-19 di tempat pertandingan dan kawasan sekitar,” katanya.

Sekretariat itu menambah hanya penonton yang lengkap dua dos vaksin dibenarkan masuk manakala kanak-kanak bawah 12 tahun dilarang mengikut arahan penganjur.

“Pemilik tiket mesti mematuhi SOP ditetapkan termasuk mengimbas MySejahtera, memakai pelitup muka dan memastikan penjarakan fizikal sepanjang berada di lokasi pertandingan,” katanya lagi.

Tiket masuk boleh didapati dengan mendaftar di laman web https://selangorbatc2022.com.

Selangor buat julung kali menjadi tuan rumah BATC 2022 selama enam hari yang diselaraskan Majlis Sukan Negeri Selangor dengan kerjasama Badminton Asia dan Persatuan Badminton Malaysia.

Menerusi undian pada 8 Februari, skuad lelaki negara berada dalam kumpulan B bersama Singapura, Jepun dan Kazakhstan manakala kumpulan A dibarisi Indonesia, India, Korea Selatan dan Hong Kong.

Sementara pasukan wanita negara pula diundi dalam Kumpulan Y bersama India dan Jepun.


Pengarang :