Peserta memecahkan periuk Ponggal ketika Majlis Malam Irama dan Pertandingan Tradisional India sempena Hari Ponggal di Sri Maha Mariaman Ken Rimba, Padang Jawa, Shah Alam pada 12 Februari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Tradisi Ponggal diperkenal, suburkan budaya masyarakat India

SHAH ALAM, 12 FEB: Ikatan bunga dan gubahan daun kelapa antara tradisi perayaan Ponggal yang diperkenalkan kepada belia India bagi menyuburkan budaya masyarakat itu.

Ahli Majlis Zon 5 Majlis Bandaraya Shah Alam S Sarawanan berkata usaha itu penting bagi memastikan amalan tersebut tidak lapuk di sebalik arus pemodenan yang pesat.

“Sekarang zaman teknologi, banyak budaya dan tradisi yang mereka (belia) tidak tahu malah tidak pernah ditunjukkan di hadapan mereka.

S Sarawanan

“Jadi, kita sebagai ibu bapa tidak mahu ia terus hilang dan dilupakan. Budaya dan tradisi ini perlu dihidupkan dan kekal sampai bila-bila,” katanya kepada Selangorkini.

Beliau ditemui pada Majlis Malam Irama dan Pertandingan Tradisional India sempena perayaan Hari Ponggal di Kuil Sri Maha Mariamman Ken Rimba di sini hari ini.

Sarawanan menambah majlis yang diusahakan sendiri pihaknya turut memperkenalkan tradisi pecah periuk ponggal, mengopek kelapa dan pakaian tradisional beragam.

Jelasnya, acaran tahunan yang melibatkan kira-kira 100 penyertaan tertangguh selama dua tahun susulan penularan Covid-19 dan kes tinggi.

“Ini kali pertama diadakan sejak wabak menular. Selalunya kita buat di tujuh kuil sekitar bandar raya ini tetapi tahun ini dihadkan bagi menjaga tatacara operasi piawai,” katanya.

Ponggal atau pesta menuai disambut pada 14 hingga 17 Januari lalu sebagai tanda kesyukuran terhadap hidupan dan alam semula jadi yang memberi rezeki.

Peserta mengikat bunga ketika Majlis Malam Irama dan Pertandingan Tradisional India sempena Hari Ponggal di Sri Maha Mariaman Ken Rimba, Padang Jawa, Shah Alam pada 12 Februari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

 


Pengarang :