Universiti Selangor (Unisel)
AGENDANASIONALPENDIDIKAN

Unisel terima dana RM3 juta tingkat data internet

KUALA SELANGOR, 5 FEB: Sebanyak RM3 juta diperuntukan Kerajaan Negeri kepada Universiti Selangor (Unisel) bagi meningkatkan data internet pada tahun ini.

Dato’ Menteri Besar berkata peruntukan itu adalah sebahagian daripada Belanjawan Selangor 2022 yang dibentangkan pada November lalu.

“Sebagai kerajaan yang cakna dan komited terhadap bidang pendidikan, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM3 juta kepada Unisel bagi meningkatkan data internet.

“Saya percaya, peruntukan ini mampu memberi kemudahan kepada pelajar dan memberi nilai tambah kepada universiti milik Kerajaan Negeri ini untuk terus berdaya saing,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari, hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah PIYSB berkata demikian pada Istiadat Konvokesyen Ke-15 Unisel yang diadakan di Dewan Canselor Kampus Bestari Jaya di sini.

Amirudin berkata pihaknya menganggap usaha meningkatkan data internet adalah penting dan sebahagian daripada usaha menjadikan Selangor sebagai negeri pintar menjelang 2025.

Seramai 2,864 graduan dirai pada Istiadat Konvokesyen Ke-15 yang disempurnakan oleh Canselor, Raja Tan Sri Dato’ Seri Arshad Alhaj Raja Tun Uda Alhaj.

Konvokesyen kali ini dibahagikan kepada lima sidang bermula dengan sidang pertama pada hari ini dan berakhir pada 9 Februari.


Pengarang :