Graduan yang menghadiri Majlis Konvokesyen Ke-20 Universiti Teknologi Petronas (UTP) pada Januari lalu. Foto Facebook UTP
AGENDANASIONAL

UTP kekal teratas dalam kedudukan Universiti Muda Times Higher Education 2022

KUALA LUMPUR, 22 FEB: Universiti Teknologi Petronas (UTP) terus mengukuhkan kedudukannya sebagai universiti nombor satu Malaysia dalam Universiti Muda Times Higher Education (THE) 2022.

UTP dalam satu kenyataan semalam berkata kedudukan universiti itu menokok 15 anak tangga ke tangga 119, satu-satunya universiti di Malaysia yang mencatatkan peningkatan dalam ranking tahun ini.

Naib Canselor UTP Prof Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib berkata ia adalah kedudukan tertinggi universiti itu dalam Ranking Universiti Muda THE dan pencapaian itu amat bermakna kerana ia baharu sahaja menyambut jubli perak penubuhannya pada 10 Januari lalu.

“Dalam persaingan lapangan universiti muda yang semakin sengit, kami telah menghadapinya dengan cemerlang dan melakukan peningkatan berterusan dalam ranking sejagat. Kami berbangga dengan pencapaian ini kerana ini adalah bukti dan pengiktirafan ke atas kerja keras dan usaha bersepadu komuniti UTP selain sokongan tidak berbelah bahagi daripada Petronas (Petroleum Nasional Bhd), rakan kongsi dan kolaborator kami,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohamed Ibrahim berkata dalam ranking ini, UTP juga menerima markah tertinggi di dalam negara untuk dua penunjuk yang melihat kepada produktiviti penyelidikan sesebuah universiti, pendapatan dan reputasi bagi kecemerlangan penyelidikan dalam kalangan kelompoknya dan pandangan antarabangsa.

“Markah yang dinyatakan adalah petunjuk bahawa inisiatif penyelidikan berimpak tinggi kami, kecemerlangan pengajaran dan pembelajaran selain daripada menarik bakat penuntut antarabangsa secara keseluruhannya membolehkan kami mengekalkan ranking sejagat yang kukuh,” katanya.

Beliau berkata UTP akan terus mengejar kecemerlangan dalam mengekalkan perkongsian strategik, merintis penyelidikan dan menghasilkan penyelesaian inovatif selain daripada menyokong inisiatif peralihan tenaga Petronas kepada langkah pelepasan karbon sifar bersih (NZCE) dan untuk menyediakan persekitaran pengajaran dan pembelajaran berkelas dunia.

-BERNAMA


Pengarang :