Seorang kanak-kanak ditenangkan ibunya sebelum menerima suntikan vaksin pada Program Imunisasi COVID-19 Kanak-Kanak (PICKids) di PPV Offsite IOI City Tower 1, baru-baru ini. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Vaksinasi Covid-19 berkesan lindungi kanak-kanak, remaja

KUALA LUMPUR, 11 FEB: Bukti daripada ujian klinikal dan pengalaman dunia menunjukkan vaksinasi Covid-19 berkesan dan selamat bagi kanak-kanak dan remaja, menurut Kolej Pediatrik, Akademi Perubatan Malaysia (AMMCOP).

Kolej itu memaklumkan setakat November 2021, lebih 100 negara sudah memulakan atau merancang untuk mengembangkan vaksinasi Covid-19 kepada kanak-kanak bermula dengan remaja berusia antara 12 hingga 17 tahun termasuk di Malaysia.

Menurut kolej itu, pihaknya dengan usaha sama pelbagai pakar daripada subkepakaran pediatrik yang berbeza dan kesihatan awam, menyokong sepenuhnya inisiatif kerajaan untuk melancarkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan untuk kanak-kanak (PICKids).

Menurutnya, pandemik Covid-19 yang masih menular dengan kemunculan varian baharu seperti Omicron menyerlahkan keperluan untuk memaksimumkan faedah perlindungan vaksinasi kepada semua peringkat umur, terutama kanak-kanak.

“Berdasarkan profil keselamatan yang diterbitkan dan bukti semakin meningkat mengenai manfaat daripada vaksinasi COVID-19, kolej ini dengan sesungguhnya mengesyorkan vaksinasi kanak-kanak, terutama kumpulan bersekolah iaitu lima tahun dan ke atas.” menurut kolej itu dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, pihaknya menyeru kerajaan supaya memastikan program vaksinasi untuk kanak-kanak di bawah umur 12 tahun di Malaysia dilaksanakan dengan penuh teliti mengambil kira ia penting terutama semasa negara menghadapi peningkatan kadar kematian berkaitan COVID-19 dalam kalangan kanak-kanak.

“Ini kerana dari Julai hingga Disember 2021, sebanyak 105 kematian dilaporkan dalam kalangan kanak-kanak berumur antara 0 hingga 17 tahun,” menurut kenyataan itu yang ditandatangani oleh tujuh pakar pediatrik dan seorang pakar epidemiologi.

Antara yang terlibat adalah profesor dan pakar perunding kanan pediatrik neonatologi, Jabatan Pediatrik Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr Cheah Fook Choe; pakar perunding pediatrik dan genetikal klinikal, Pusat Perubatan Universiti Malaya Prof Dr Thong Meow Keong dan pakar epidemiologi dari Universiti Malaya Prof Dr Noran Naqiah Hairi.

Berdasarkan laman sesawang COVIDNOW Kementerian Kesihatan, sebanyak 79,393 atau 2.2 peratus kanak-kanak berusia antara lima hingga 11 tahun di negara ini sudah menerima dos pertama vaksin Covid-19 setakat 11 Februari melalui PICKids yang dilancarkan pada 3 Februari lalu.

Bagi golongan remaja berusia antara 12 hingga 17 tahun pula, sejumlah 2,794,416 individu atau 88.8 peratus daripada populasi itu sudah melengkapkan vaksinasi mereka, manakala 2,872,087 individu atau 91.3 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

-BERNAMA


Pengarang :