AGENDA NASIONAL

Wanita maut dikelar dalam pergaduhan di premis niaga

SERDANG, 20 FEB: Seorang wanita maut dipercayai dikelar dalam pergaduhan di premis perniagaannya di Serdang Perdana, Seri Kembangan di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Serdang ACP A. A Anbalagan berkata pihaknya menerima panggilan daripada seorang lelaki memaklumkan terdapat pergaduhan di premis perniagaan berkenaan pada 7.25 malam.

“Setibanya anggota polis di lokasi kejadian menemukan mayat wanita berusia 29 tahun itu dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah akibat kesan kelar. Mangsa telah meninggal dunia akibat dikelar,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Bernama difahamkan mangsa yang mengusahakan perniagaan peti besi keselamatan bagi kediaman dan pejabat itu bergaduh dengan teman lelakinya berkaitan urusan wang.

Menurut Anbalagan, pihaknya sedang mengesan suspek terlibat serta motif kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

-BERNAMA


Pengarang :