Ketua Jabatan Obstetrik dan Ginekologi Hospital Canselor Tuanku Muhriz Prof Dr Nur Azurah Abdul Ghani ketika menjadi tetamu program Bual Bicara: Wanita Tanpa Rahim yang disiarkan di YouTube SelangorTV dan Facebook Media Selangor pada 22 Februari 2022.
AGENDANASIONAL

Wanita tanpa rahim perlu sokongan emosi, elak rasa terpinggir

SHAH ALAM, 25 FEB: Wanita yang lahir tanpa rahim atau Mayer Rokitansky Kuster Hauser (MRKH) tidak dapat mengesan masalah itu lebih awal berikutan tumbesaran yang normal seperti gadis lain.

Ketua jabatan obstetrik dan ginekologi Hospital Canselor Tuanku Muhriz berkata MRKH juga tidak merencatkan tahap perkembangan IQ pesakit sekali gus menyebabkan masalah itu sukar dikesan.

“Simptom awal MRKH hanya dapat dikesan apabila gadis masih tidak datang bulan ketika usia melebihi 15 tahun. Selalunya remaja perempuan datang bulan selepas dua tahun payudara tumbuh iaitu sekitar usia sembilan tahun.

“Kebanyakan remaja memang datang bulan ketika berusia 12 tahun. Jadi ibu bapa yang anak perempun mereka masih tidak datang bulan ketika usia lebih 15 tahun perlu segera berjumpa doktor pakar untuk pemeriksaan,” katanya.

Beliau bercakap dalam program Bual Bicara: Wanita Tanpa Rahim yang disiarkan YouTube SelangorTV dan Facebook Media Selangor pada Selasa.

Beliau berkata wanita yang disahkan menghidap MRKH memerlukan sokongan dari semua pihak bagi memastikan emosi terus stabil dan tidak rasa terpinggir.

“Sakit ini secara rawak. Walaupun menerima nasihat dan pandangan daripada doktor namun perlu sokongan terutama dalam kalangan pesakit sendiri kerana mereka lebih memahami,” katanya.


Pengarang :