Pengurus Besar Yayasan Islam Darul Ehsan, Nur Mohd Razali Abdullah (dua, kanan) menunjukkan replika model projek pembangunan Kompleks Asrama Anak Yatim Pulau Indah di ibu pejabat Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) pada 10 Februari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Yide: Kompleks anak yatim di Pulau Indah siap 2025

SHAH ALAM, 10 FEB: Pembangunan kompleks anak yatim di Pulau Indah, Pelabuhan Klang di atas tapak seluas 3.47 ekar, akan bermula pada Julai ini dengan kos sekitar RM12 juta.

Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) berkata projek pembinaan di atas tanah milik Central Spectrum (M) Sdn Bhd itu, mampu menempatkan 200 anak yatim dari seluruh Selangor apabila siap sepenuhnya pada Julai 2025.

Pengurus besarnya, Nur Mohd Razali Abdullah menjelaskan ketika ini pihaknya sedang menunggu kelulusan pembangunan daripada Majlis Perbandaran Klang (MPK) yang dijangka diperoleh dalam masa terdekat.

“Kompleks ini bakal memiliki pelbagai kemudahan seperti asrama, fasiliti tambahan, pusat sukan dan riadah, kawasan lapang, dewan serbaguna, surau serta pusat komersial.

“Kami berharap pembangunan projek ini berjalan mengikut jadual. Pada masa sama, kita akan kenal pasti anak yatim yang layak dan berpotensi untuk diserap ke kompleks ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis simbolik penyerahan sumbangan pembangunan kompleks itu daripada Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan)  atau MBI di ibu pejabat Yide di Seksyen 7, hari ini.

Turut hadir, ketua kluster penciptaan nilai MBI ,Daud Abd Rahman dan ketua tanggungjawab sosial korporat MBI, Ahmad Azri Zainal Nor.

Sementara itu, Nur Mohd Razali berkata setakat ini, pihaknya berjaya mengumpul dana RM7.5 juta hasil sumbangan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat swasta dan orang ramai bagi membangunkan kompleks terbabit.

“Kita mengajak semua pihak untuk sama-sama menyumbang demi masa depan anak yatim dan setiap sumbangan akan mendapat pelepasan cukai daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN),” katanya.

 


Pengarang :