Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia meraikan kemenangannya selepas beraksi menentang pemain Indonesia, Chico Aura Dwi Wardoyo pada perlawanan akhir Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam pada 20 Februari 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Zii Jia: Usah leka kejayaan Badminton Asia, tumpu saingan Piala Thomas

SHAH ALAM, 21 FEB: Jaguh perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia, mengingatkan rakan sepasukan supaya tidak leka dengan kejayaan bersejarah muncul juara Kejohanan Badminton Berpasukan Asia buat kali pertama di sini, semalam.

Pemain nombor tujuh dunia itu berkata ini kerana kebanyakan pasukan menghantar barisan kedua mereka berbanding Malaysia, yang membariskan skuad utama pada edisi 2022 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City, di sini, sejak Selasa lalu.

“Jangan gembira sangat tetapi ye, ia masih satu gelaran untuk kami,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan akhir semalam.

Justeru, Zii Jia yang menyumbang mata pertama negara selepas menewaskan Chico Aura Dwi Wardoyo, 14-21, 21-12, 21-10, berharap para pemain agar mengekalkan momentum mereka sebelum berjuang memburu kejuaraan yang lebih penting, iaitu Piala Thomas dijadual berlangsung di Bangkok, Thailand, Mei ini.

Pasukan Malaysia muncul juara badminton Asia baharu selepas menundukkan Indonesia, 3-0, sekali gus menyekat hasrat musuh tradisi itu daripada menjuarai gelaran keempat berturut-turut kejohanan yang bermula sejak 2016 itu.

Dalam pada itu, Soh Wooi Yik pula mengakui sudah bersedia untuk bermain dalam set penentuan sehingga menyaksikan mereka bangkit daripada ketinggalan, untuk meraih mata kedua buat Malaysia.

Wooi Yik bersama pasangannya, Aaron Chia berhempas pulas dalam perlawanan kedua selepas menerima tentangan hebat dari Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin 17-21, 21-13, 21-18.

Aaron pula berkata beliau masih belum berpuas hati dengan persembahannya sepanjang kejohanan ini berlangsung, dan berazam untuk meningkatkan prestasi pada masa depan.

Pemain muda meningkat naik, Ng Tze Yong berkata beliau tidak berdepan tekanan selepas menyedari Malaysia mempunyai kelebihan dengan kedudukan 2-0, sebelum masuk ke gelanggang berdepan pemain ke-90 dunia Ikhsan Leonardo Imanuel Rumbay.

“Pasukan bagi keyakinan banyak lepas mendahului 2-0 dan saya pun tiada tekanan dan cuma berikan yang terbaik,” katanya yang memberi mata kemenangan kepada Malaysia selepas unggul membenam Ikhsan, 21-14, 21-15.

Sementara itu, Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Wong Choong Hann, menyifatkan kem perseorangan lelaki negara menampilkan aksi stabil dalam pertandingan ini.

Beliau turut memuji persembahan Zii Jia yang disifatkannya bagus dan tampil lebih tenang bagi membantu pasukan negara menjulang trofi BATC kali ini.

“Permainan Tze Yong juga stabil, lebih-lebih lagi selepas beliau baharu sahaja sembuh daripada dijangkiti Covid-19 baru-baru ini,” katanya.

Pada masa sama, Choong Hann mengakui pasukan Malaysia tidak berdepan cabaran yang getir selepas banyak pasukan mempertaruhkan skuad kedua, namun tetap menghormati langkah negara lain bertindak sedemikian.

Bagi Pengarah Kejurulatihan Beregu kelahiran Indonesia Rexy Mainaky, juga bangga dengan prestasi Aaron-Wooi Yik dalam BATC kali ini, apabila berjaya mengawal kegopohan mereka yang terlalu inginkan kemenangan sehingga membawa padah kepada mereka sebelum kejohanan ini.

Selain meraikan kejayaan di hadapan penyokong sendiri, pasukan Malaysia juga pastinya berbangga dapat membalas dendam kekalahan mereka kepada Indonesia, 1-3, pada aksi final edisi 2020 di Manila, Filipina.

Kejayaan skuad wanita Indonesia yang meraih kejuaraan sulung BATC di sini, selepas menewaskan Korea Selatan 3-1, awal hari ini, sedikit sebanyak mengubat kekecewaan skuad lelaki yang gagal mempertahankan kejuaraan dimenangi di Filipina.

– BERNAMA


Pengarang :