Sukarelawan membantu orang ramai yang hadir bagi mendapatkan dos penggalak Vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Integrasi Ideal Convention Centre (IDCC) Shah Alam pada 27 Januari 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

0.59 peratus kes baharu Covid-19 babit kategori tiga hingga lima

KUALA LUMPUR, 2 MAC: Sebanyak 152 kes atau 0.59 peratus daripada 25,854 kes harian yang dicatatkan semalam terdiri daripada kategori tiga, empat dan lima.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini memaklumkan baki 25,702 kes atau 99.41 peratus pula terdiri daripada kategori satu dan dua.

“Daripada 152 kes kategori tiga, empat dan lima yang dilaporkan semalam, 25 kes tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi manakala 89 kes telah menerima dua dos vaksin Covid-19 tetapi belum menerima dos penggalak,” katanya.

Selain itu, 38 kes kategori tiga hingga lima telah menerima dos penggalak, 65 kes membabitkan individu berumur 60 tahun dan ke atas, 51 kes mempunyai komorbid dan satu kes membabitkan ibu mengandung.

Dr Noor Hisham berkata semalam, sebanyak 1,754 kes Covid-19 dimasukkan ke hospital terdiri daripada 575 kes kategori tiga hingga lima, manakala 1,179 kes daripada kategori satu dan dua.

Dalam pada itu, 25,548 kes sembuh dilaporkan semalam menjadikan kumulatif kes sembuh sebanyak 3,142,112 kes.

Sementara itu, beliau berkata sebanyak 374 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 213 kes memerlukan bantuan pernafasan menjadikan peratusan penggunaan alat bantuan penafasan kini sebanyak 36 peratus.

Mengenai penggunaan katil kes kritikal atau ICU Covid-19 di hospital, beliau memaklumkan lapan negeri menunjukkan pengisian 50 peratus atau lebih iaitu di Putrajaya (67 peratus), Kuala Lumpur (65 peratus), Johor (63 peratus), Melaka (63 peratus), Kelantan (58 peratus), Perlis (55 peratus), Selangor (55 peratus), dan Sabah (53 peratus).

Dr Noor Hisham berkata secara keseluruhannya, setiap negeri telah bersiap siaga dengan pelan tindak balas cepat sekiranya berlaku peningkatan kes yang memerlukan kemasukan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC), hospital dan ICU.

– BERNAMA


Pengarang :