Petugas Pusat Pemberian Vaksin Mega mengemas peralatan yang digunakan selepas selesai pemberian vaksin Covid-19 kepada penerima ketika tinjauan hari terakhir pengoperasiannya di IDCC Shah Alam pada 15 Mac 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

15,942 kes baharu Covid-19, 108 kategori tiga hingga lima

KUALA LUMPUR, 31 MAC: Jumlah kes baharu Covid-19 berada di bawah paras 20,000 selama empat hari berturut-turut dengan 15,941 kes dilaporkan semalam, menjadikan kumulatif kes baharu kini 4,183,359 kes, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Pada Ahad lepas sebanyak 16,863 kes baharu dilapokan, Isnin (13,336 kes) dan Selasa (15,215 kes).

Menurutnya daripada jumlah kes baharu yang dicatatkan semalam, 7,474 kes merupakan kategori satu, 8,359 kes (kategori dua), 50 kes (kategori tiga), 26 kes (kategori empat) dan 32 kes (kategori lima).

“Daripada 108 kes Covid-19 kategori tiga, empat dan lima yang dilaporkan semalam, 26 kes tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi, 45 kes telah menerima dua dos vaksin Covid-19 tetapi belum menerima dos penggalak, manakala 37 kes telah menerima dos penggalak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata sebanyak 21,186 kes sembuh Covid-19 dilaporkan semalam, sekali gus mengatasi kes baharu itu, menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh yang direkodkan dalam negara sehingga kini adalah sebanyak 3,941,829 kes.

Pada masa sama, Dr Noor Hisham berkata daripada jumlah kes baharu semalam, sebanyak 275 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), manakala 168 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Mengenai penggunaan fasiliti kesihatan khusus bagi kes Covid-19, beliau berkata tiga negeri mencatat peratusan pengisian melebihi 50 peratus bagi penggunaan katil ICU setakat semalam iaitu Putrajaya dengan 67 peratus, Selangor (55 peratus) dan Kuala Lumpur (53 peratus).

Beliau berkata bagi pengisian katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC), tiada negeri mencatat penggunaan melebihi 50 peratus, manakala pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan menurun kepada 168 pesakit dengan peratusan penggunaan alat itu sebanyak 19 peratus.

Menurut Dr Noor Hisham, sebanyak 845 kes Covid-19 dimasukkan ke hospital semalam dengan 366 kes adalah kategori tiga, empat dan lima, sementara selebihnya adalah kategori satu serta dua.

Kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau nilai Rt dicatatkan di seluruh negara pula adalah 0.88 dengan Selangor masih merekodkan kadar tertinggi iaitu 1.04 dan Sabah kekal mencatat kadar paling rendah dengan 0.67.

– BERNAMA


Pengarang :