EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud menjawab soalan pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Keempat Belas Tahun 2022 di Bangunan Annex, Shah Alam pada 21 Mac 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

1,800 anggotai sukarelawan kesihatan negeri, aktif anjur program

SHAH ALAM, 21 MAC: Seramai 1,800 individu menyertai program Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor (SUKA) sejak ditubuhkan Ogos tahun lalu.

EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud berkata lebih 100 aktiviti kesihatan awam berkaitan Covid-19 turut digerakkan kepada komuniti sepanjang tempoh itu.

“Pencapaian pasukan ini memuaskan dalam tempoh kurang setahun penubuhannya dan perlu diberi galakan serta sokongan berterusan,” katanya dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Sijangkang Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berhubung prestasi SUKA dalam usaha membendung jangkitan Covid-19.

Dr Siti Mariah menambah latihan dan kursus bersesuaian diteruskan tahun ini bagi memastikan anggotanya dilengkapi ilmu mencukupi dalam bidang kesihatan awam.

SUKA terbuka kepada warganegara yang menetap di Selangor, berumur 18 tahun ke atas dan sihat tubuh badan serta dilatih menggunakan modul bertemakan Covid-19 sebelum digerakkan ke seluruh negeri.

Modul meliputi pengurusan pesakit, ujian Covid-19 di rumah dan penggunaan kit penilaian rumah menerusi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) yang diajar secara profesional.


Pengarang :