Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua
AGENDANASIONAL

1MDB: Ahli parlimen HARAPAN kemuka usul rujuk Najib ke jawatankuasa khas Parlimen

SHAH ALAM, 3 MAC: Ahli Parlimen Damansara membuat usul supaya Datuk Seri Najib Razak dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana mengelirukan dewan dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menyatakan usul itu telah diserah kepada pejabat Speaker Dewan Rakyat, Tony Pua berkata kenyataan bekas perdana menteri yang menyebut tiada satu sen prinsipal hutang 1MDB dibayar kerajaan adalah palsu.

“Beliau (Najib) dalam ucapannya semalam mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan dewan dan boleh disifat sebagai menghina majlis. Secara spesifiknya, beliau mengelirukan dewan,” katanya pada sesi dewan hari ini.

Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng turut menyokong kenyataan Pua dan meminta ahli parlimen Pekan itu dirujuk ke jawatankuasa berkenaan.

“Tidak ada alasan selain merujuk Pekan (Najib) ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan. Dalam dewan jangan tipu dan bohong. Jangan kelirukan dewan yang mulia,” katanya.

Terdahulu, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz memaklumkan kerajaan membayar faedah hutang 1MDB kira-kira RM6.5 bilion.


Pengarang :