Petugas kesihatan memasukkan vaksin Covid-19 dalam picagari untuk diberikan kepada peserta program Vaksin Selangor (Selvax) Booster di Klinik Selcare, Seksyen 13, Shah Alam pada 10 Disember 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

21,839 kes baharu Covid-19, kategori serius kekal rendah

KUALA LUMPUR, 26 MAC: Sebanyak 21,700 kes Covid-19 atau 99.36 peratus daripada jumlah keseluruhan 21,839 kes positif harian dilaporkan semalam merupakan kategori satu dan dua, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata kurang satu peratus iaitu 0.64 peratus atau sebanyak 139 kes Covid-19 yang dilaporkan semalam dalam kategori tiga, empat dan lima.

“Kes Covid-19 kategori satu yang dilaporkan semalam adalah sebanyak 9,401 kes manakala kes kategori dua 12,299 kes.

“Sebanyak 60 kes atau 0.28 peratus dalam kategori tiga, 42 kes (0.19 peratus) dalam kategori empat dan 37 kes (0.17 peratus) dalam kategori lima,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Dr Noor Hisham tiada kluster baharu Covid-19 dilaporkan semalam dan sebanyak 242 kluster didapati masih aktif setakat ini.

Beliau berkata kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau nilai Rt di seluruh negara yang dicatatkan semalam adalah 0.92 dengan Selangor merekodkan kadar tertinggi iaitu 1.05 manakala kadar paling rendah dicatatkan di Sabah iaitu 0.63.

Katanya empat negeri mencatatkan penggunaan katil kes kritikal atau Unit Rawatan Rapi (ICU) melebihi 50 peratus dengan tertinggi di Putrajaya pada tahap 100 peratus.

Tiga lagi negeri mencatatkan penggunaan katil kes kritikal atau ICU melebihi 50 peratus ialah Kuala Lumpur (67 peratus), Johor (55 peratus) dan Selangor (51 peratus).

– BERNAMA


Pengarang :