Exco Pemodenan Pertanian Ir Izham Hashim (dua, kanan) bersama Pengarah Jabatan Pertanian Selangor Azahar Ibrahim (kanan) menyerahan bantuan input pascabanjir selepas merasmikan pelancaran video animasi myGap di kampung Hulu Chuchoh, Sepang pada 1 Mac 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

250 petani negeri terjejas bah dapat bantuan awal RM500,000

SEPANG, 2 MAC: Seramai 250 petani yang menjadi mangsa banjir pada Disember tahun lalu menerima bantuan awal RM500,000 daripada Kerajaan Negeri.

EXCO Pemodenan Pertanian Ir Izham Hashim berkata bantuan lain akan terus disalurkan termasuk sumbangan kerajaan persekutuan bagi memastikan hasil tani tidak terputus.

“Walaupun terkesan teruk (banjir), namun mereka bangkit meneruskan aktiviti pertanian. Jadi, sumbangan berupa baja ini sebagai langkah menaikkan semangat mereka.

“Bukan hanya kebun musnah tetapi peralatan dan kemudahan bertani seperti pam fertigasi rosak serta terpaksa menanggung kerugian lebih RM10 juta,” katanya selepas menyerahkan sumbangan itu semalam.

Dalam majlis itu, beliau turut melancarkan video animasi berkenaan Skim Amalan Pertanian Baik Malaysia (myGAP) bagi mempromosikan hasil tanaman berkualiti kepada orang ramai.

Sementara itu, Ir Izham berkata Bantuan Selangor Bangkit (BSB) berjumlah RM1,000 turut diagihkan kepada petani yang kediamannya dinaiki air.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180mm mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Susulan itu, Kerajaan Negeri menyediakan dana RM100 juta menjayakan BSB bagi membaik pulih prasarana selain sumbangan wang tunai kepasa isi rumah dan waris korban banjir.


Pengarang :