Petugas kesihatan mengekstrak sampel saringan Covid-19 bagi mengesahkan status kes di Institut Penyelidikan Perubatan, Shah Alam pada 1 Julai 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

26,171 pesakit Covid-19 sembuh, atasi jumlah jangkitan baharu 16,863

KUALA LUMPUR, 28 MAC: Kes positif baharu Covid-19 turun semula di bawah angka 20,000 apabila mencatat 16,863 kes semalam berbanding 20,923 pada Sabtu, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Sementara kes sembuh yang direkod ialah 26,171 kes, masih mengatasi kes baharu menjadikan kes kumulatif sembuh pandemik itu di negara ini ialah 3,870,937.

Menurut Dr Noor Hisham daripada kes baharu yang dicatatkan semalam, 850 kes dimasukkan ke hospital dengan 362 atau 42.6 peratus daripadanya adalah kategori tiga, empat dan lima, manakala 488 kes atau 57.4 peratus adalah kategori satu dan dua.

Mengenai penggunaan fasiliti kesihatan khusus bagi kes Covid-19, Dr Noor Hisham berkata dua negeri mencatat peratusan pengisian melebihi 50 peratus bagi penggunaan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) iaitu Kuala Lumpur dengan 63 peratus dan Selangor (52 peratus).

Bagi pengisian katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC), tiada negeri yang mencatat penggunaan melebihi 50 peratus.

Beliau berkata pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan meningkat kepada 187 pesakit dengan peratusan penggunaan alat itu adalah 21 peratus.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata satu kluster baharu dikenal pasti menjadikan jumlah kluster yang aktif kini adalah 220.

Kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau nilai Rt dicatatkan di seluruh negara adalah 0.93 dengan Selangor masih merekodkan kadar tertinggi iaitu 1.09 dan Sabah kekal mencatat kadar paling rendah iaitu 0.64.

– BERNAMA


Pengarang :