Keadaan jalan yang dinaiki air akibat banjir kilat susulan hujan lebat sekitar Jalan Kia Peng berdekatan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 7 Mac 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

29 lokasi di ibu kota dinaiki air, alami banjir kilat

SHAH ALAM, 8 MAC: Sebanyak 29 kawasan sekitar ibu kota dinaiki air berikutan hujan lebat petang semalam.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata bagaimanapun banjir di 25 lokasi surut dalam tempoh 30 hingga 45 minit manakala empat lagi dianggar satu hingga tiga jam, lapor Harian Metro.

“Dua pusat pemindahan sementara (PPS) juga dibuka masing-masing di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Saraswati yang membabitkan 560 orang daripada 145 keluarga.

“Di Dewan Sultan Sulaiman pula, ia membabitkan mangsa banjir di Kampung Periuk, seramai 128 orang,” katanya dalam kenyataan media.

Katanya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang memantau tiga insiden tanah runtuh dilapor masing-masing di Taman Gembira di Jalan Kuchai Lama; Seksyen 6, Wangsa Maju dan Jalan Hang Tuah 4, Salak Selatan dengan kerja susulan akan dilakukan dalam kadar segera.


Pengarang :