Petugas kesihatan memberi suntikan dos penggalak di pusat pemberian vaksin (PPV) Ideal Covention Center (IDCC) Shah Alam pada 27 Februari 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

3.72 juta individu dewasa di Selangor terima dos penggalak

SHAH ALAM, 21 MAC: Seramai 81.9 peratus atau 3,728,125 individu dewasa di Selangor direkodkan menerima dos penggalak sehingga 1 Mac lepas menerusi Program Immunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

EXCO Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga Dr Siti Mariah Mahmud berkata untuk tempoh yang sama sejumlah 4,334,507 individu dewasa (95.2 peratus) telah menerima dos pertama dan 4,315,186 individu (94.8 peratus) sudah menerima dos kedua.

Beliau berkata demikian pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini, bagi menjawab soalan Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi (PAS-Sijangkang) berkenaan statistik imunisasi Covid-19 di Selangor.

Selain itu, menurutnya bagi golongan remaja, sejumlah 531,193 individu (93.3 peratus) daripada populasi remaja di Selangor menerima dos pertama dan 482,503 (84.8 peratus) telah menerima dos kedua.

“Sementara itu, sejumlah 167,388 (22.9 peratus) daripada populasi kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun di Selangor sudah menerima dos pertama,” katanya.

Mengenai tindakan terkini yang diambil bagi membendung peningkatan semula kes Covid-19 di Selangor, Dr Siti Mariah berkata usaha yang dilakukan pihaknya adalah selari dengan garis panduan dan strategi yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).

-BERNAMA

 


Pengarang :