Penduduk taman keluar melihat kerja meninggikan ban bagi mengelak air sungai melimpah dan mengakibatkan banjir berikutan hujan lebat ketika tinjauan di Pintu Kunci Air Taman Sri Muda Seksyen 25 Shah Alam pada 7 Mac 2022. Foto BERNAMA
ADNBERITA UTAMASELANGOR

300 mangsa banjir Taman Medan ditempatkan di dua pusat pemindahan

SHAH ALAM, 8 MAC: Seramai 300 mangsa banjir di Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Medan ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) malam tadi.

Ahli Dewan Negerinya Syamsul Firdaus Mohamed Supri berkata jumlah itu membabitkan penduduk di kawasan PJS 1, PJS 2C/10 dan PJS 3.

“Jumlah yang terjejas mungkin ramai tetapi tiada angka rasmi diperoleh setakat ini kerana kebiasaannya banjir di Taman Medan cepat surut.

“Semua mangsa kini ditempatkan di dua PPS iaitu Dewan PJS 2C/6 dan Dewan PJS 1/35,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau berkata pihaknya mengambil langkah segera dengan menyediakan makanan kepada mangsa banjir di PPS.

“Sumbangan makanan masak disediakan dan diagihkan kepada 300 mangsa,” katanya.

Banjir kilat dilaporkan melanda beberapa kawasan di Selangor selepas hujan lebat sejak 3 petang semalam.

Antara kawasan terjejas di negeri ini ialah Bandar Baru Sungai Buloh, Kampung Gombak Batu Arang, Kampung Melayu Kundang dan Kampung Melayu Sungai Serai, Batu Arang.


Pengarang :