AGENDA NASIONAL

32,800 angka jangkitan harian tertinggi Covid-19, kes serius kekal rendah

SHAH ALAM, 12 MAC: Jumlah jangkitan harian Covid-19 melonjak 2,013 kepada 32,800 kes semalam, tertinggi sejak wabak itu melanda negara dua tahun lalu.

Daripada jumlah itu, 32,259 adalah kes tempatan, manakala 541 adalah kes import.

Angka jangkitan harian tertinggi dicatatkan sebelum ini adalah 32,070 kes iaitu pada 24 Februari lalu.

Kes jangkitan bagi kategori 3, 4 dan 5 kekal rendah iaitu 183 kes atau 0.56 peratus manakala kategori satu (tanpa gejala) 12,726 kes atau 38.8 peratus dan kategori dua (gejala ringan) merekodkan 19,891 kes atau 60.64 peratus

Berikut adalah pecahan pesakit mengikut kategori:

Kategori 1: 12, 726 kes (38.80 peratus)
Kategori 2: 19,891 kes (60.64 peratus)
Kategori 3: 70 kes (0.21 peratus)
Kategori 4:78 kes (0.24 peratus)
Kategori 5: 35 kes (0.11 peratus)

Ketua Pengarah Kesihatan berkata seramai 8,858 atau 2.7 peratus pesakit sedang dirawat di hospital dan daripada jumlah itu 149 kes tidak memerlukan bantuan pernafasan dan 231 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Setakat semalam, 310,351 atau 96.2 peratus pesakit Covid-19 sedang menjalani kuarantin di rumah dan 3,111 atau satu peratus pesakit dirawat di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).

“Jumlah kes aktif terbaharu adalah 8,280 kes menjadikan jumlah keseluruhan kepada 322,700 kes,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini.

Sebanyak 97 kes kematian direkodkan semalam termasuk 21 kes kematian di luar hospital menjadikan jumlah kematian sehingga semalam adalah 33,643 kes.

Jumlah kes terkumpul keseluruhan setakat semalam adalah 3,774,786 kes.


Pengarang :