Kanak-kanak Orang Asli bergambar bersama selepas menerima bakul makanan di Kampung Orang Asli Sungai Dua, Pulau Ketam, Pelabuhan Klang pada 4 Mac 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMAEXCONASIONALSELANGOR

6,000 bakul makanan selesai diagih kepada masyarakat Orang Asli

PELABUHAN KLANG, 4 MAC: Sebanyak 6,000 bakul makanan berjaya diagihkan di 74 perkampungan Orang Asli di seluruh Selangor sejak tahun lalu, kata EXCO hal ehwal orang asli.

Hee Loy Sian berkata sumbangan itu hasil kerjasama dan tajaan sepenuhnya daripada Malaysian Chamber of Commerce Hong Kong and Macau (Maycham China).

“Saya hanya menyampaikan sumbangan ini yang ditaja sepenuhnya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu dan ia adalah program agihan ketiga kepada masyarakat Orang Asli.

“Sebelum ini, pada pusingan pertama dan kedua Kerajaan Selangor ada menyediakan peruntukan bantuan kira-kira RM300,000,” katanya kepada Selangorkini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program lawatan dan agihan bakul makanan kepada masyarakat Orang Asli di Kampung Orang Asli Sungai Dua, Pulau Ketam, di sini hari ini.

Mengenai bantuan hari ini, Loy Sian berkata kawasan Kampung Orang Asli Sungai Dua adalah destinasi terakhir program itu dan ia membabitkan 18 keluarga.

“Program ini tergendala akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan wabak Covid-19 dan kejadian banjir baru-baru ini.

“Bagaimanapun, saya berharap sumbangan ini mampu meringankan beban mereka dan tidak terputus bekalan makanan terutama ketika pandemik,” katanya.

Loy Sian berkata pihaknya akan terus membantu masyarakat Orang Asli di seluruh Selangor termasuk menyalurkan bantuan kewangan dan membaik pulih infrastruktur.


Pengarang :