Kontraktor giat melupuskan sampah pascabanjir di Stesen Pemindahan Sisa Pepejal Seksyen 21, Shah Alam pada 5 Januari 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

60,543 tan metrik sisa pascabah dilupus dengan kambus tanah

SHAH ALAM, 17 MAC: Worldwide Holdings Berhad (Worldwide Holdings) menggunakan kaedah kambus tanah bagi melupuskan 60,543 tan metrik sisa pascabanjir di enam tapak pelupusan negeri ini.

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata sampah tersebut dilupuskan dalam sel penerimaan sisa pepejal dan dimampatkan sebelum ditutup dengan selamat.

“Kesemua sisa pascabanjir diterima pihak berkenaan akan diasingkan terutamanya e-sisa untuk dihantar ke pusat pelupusan ditetapkan Jabatan Alam Sekitar Selangor.

“Kaedah ini digunakan bagi memastikan sisa pepejal dapat dimampatkan dengan lebih selamat,” katanya menjawab pertanyaan wakil rakyat Lembah Jaya Haniza Talha dalam sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Dalam pada itu, Sze Han berkata Kerajaan Negeri akan memikirkan kaedah pelupusan sampah yang lebih mampan dengan memanfaatkan teknologi terkini termasuk sisa kepada tenaga.

“Jumlah penghasilan sampah pascabanjir merupakan satu perkara di luar jangkaan kita. Maka, kita harus mengambil iktibar bagi menyelesaikan kekurangan tapak pelupusan di Selangor,” katanya.

Sebanyak 32,267 tan metrik sisa dilupuskan di Tapak Pelupusan Sanitari Jeram Sejak 21 Disember tahun lalu hingga 15 Januari, manakala 14,715 tan di Tanjung Dua Belas.

Tapak Pelupusan Sisa Lengai Dengkil pula melupuskan 12,043 tan sisa pascabah, Tapak Pelupusan Sisa Lengai Kuang (849 tan), Tapak Pelupusan Sisa Lengai Sungai Tua (583) dan Tapak Pelupusan Sanitari Panchang Bedena (86).


Pengarang :