EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Ng Sze Han menjawab soalan dikemukakan wakil rakyat dalam Sidang Dewan Negeri Selangor di Bangunan Annex, Shah Alam pada 16 Mac 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

613 tapak haram pencawang bakal berdepan tindakan penguatkuasaan

SHAH ALAM, 16 MAC: Kerajaan Negeri bersetuju pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap 613 pemilik tapak haram pencawang tidak berlesen di seluruh negeri.

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata tindakan itu bagi mengelakkan Kerajaan Negeri kehilangan hasil sebanyak RM1.2 juta setahun.

Beliau menjelaskan langkah yang diputuskan melalui mesyuarat pada 14 Februari lalu itu juga bagi memastikan usaha Kerajaan Negeri menyahut kedatangan teknologi 5G tidak terjejas.

“Kita setuju supaya semua PBT mengeluarkan notis perobohan ke atas pemilik menara telekomunikasi haram atau tidak memperbaharui permit di kawasan masing-masing selewat-lewatnya pada 31 Mac,” katanya dalam Sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Menjawab pertanyaan wakil rakyat Balakong Wong Siew Ki, Sze han berkata PBT boleh mengeluarkan notis mengikut peruntukan undang-undang seperti Akta 133 (Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974) serta Akta 172 (Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976).

“Sekiranya pemilik struktur enggan menjelaskan bayaran kompaun tersebut, tindakan penguatkuasaan akan dilaksana terhadap struktur tersebut,” katanya.

Beliau turut memperincikan jumlah tapak pencawang haram di PBT seperti berikut:

1. Majlis Perbandaran Kuala Langat – 172
2. Majlis Perbandaran Selayang – 111
3. Majlis Perbandaran Kajang – 77
4. Majlis Perbandaran Sepang – 63
5. Majlis Bandaraya Petaling Jaya – 42
6. Majlis Bandaraya Subang Jaya – 42
7. Majlis Bandaraya Shah Alam – 36
8. Majlis Perbandaran Ampang Jaya – 35
9. Majlis Perbandaran Hulu Selangor – 19
10. Majlis Perbandaran Kuala Selangor – 7
11. Majlis Perbandaran Klang – 5
12. Majlis Daerah Sabak Bernam – 4


Pengarang :