Datuk Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Mohamad Azhan Md. Azmir (lapan, kiri) bersama Pengarah Eksekutif Mydin, Ahimat Mydin (tengah) bersama penerima baucar persekolahan pada program jom shopping kembali ke sekolah anjuran MBPJ di Pasaraya Mydin USJ Subang Jaya, pada 4 Mac 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPBTSELANGOR

65 keluarga terima baucar persekolahan RM300 sumbangan MBPJ

SUBANG JAYA, 4 MAC: Penerima baucar persekolahan program jom shopping kembali ke sekolah anjuran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menyifatkan bantuan diterima meringankan beban keluarganya.

Suri rumah Noorlaila Mat Jelani, 36, berkata pendapatan keluarganya terjejas selepas suaminya terbabit dalam kemalangan menyebabkan mereka hilang punca pendapatan.

“Kemalangan menyebabkan kaki suami saya patah, selain cedera pada tangan kanan menyebabkan beliau tidak boleh bekerja.

“Kini kami sekeluarga hanya bergantung pada gaji asas suami yang bekerja di sebuah hotel di Subang Jaya,” katanya kepada Selangorkini.

Sementara itu, pemandu teksi Mohd Ali Sharif, 51, berkata pendapatannya agak terjejas susulan pandemik Covid-19.

“Apabila ada bantuan seperti ini saya bersyukur kerana beban perbelanjaan persekolahan empat anak dapat dikurangkan,” katanya.

Terdahulu, MBPJ mengagihkan baucar persekolahan bernilai RM300 kepada 65 keluarga golongan berpendapatan rendah menerusi program jom shopping kembali ke sekolah di Pasaraya Mydin USJ, Subang Jaya semalam.

 


Pengarang :