Pelajar mula menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 ketika tinjauan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 7, Shah Alam pada 2 Mac 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

73,938 calon di Selangor duduki SPM bermula hari ini

SHAH ALAM, 2 MAC: Seramai 73,938 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 termasuk persendirian dan berkeperluan khas di Selangor menduduki peperiksaan itu tahun ini.

Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan negeri Datin Nor Faridah A Bakar berkata bagaimanapun hanya 73,719 daripada jumlah itu terlibat dalam peperiksaan ketika ini manakala baki 219 didapati positif Covid-19 dan sedang dalam tempoh kuarantin.

“Sebanyak 508 pusat peperiksaan dibuka di seluruh Selangor pada kali ini. Kita berharap semua pelajar dapat menjalani peperiksaan dengan tenang dan selamat berjaya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas meninjau perjalanan peperiksaan SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 7 di sini hari ini.

Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan Selangor, Datin Nor Faridah A Bakar. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Nor Faridah menjelaskan seramai 381 calon sekolah itu terlibat dalam SPM kali ini.

Menurutnya, bagi calon negeri ini yang sedang dalam tempoh kuarantin akan menduduki peperiksaan itu dijangka pada April nanti.

“Ibu bapa terlibat tidak perlu bimbang kerana anak mereka masih berpeluang menduduki SPM fasa kedua nanti.

“Kita tidak mahu ada calon yang positif Covid-19 hadir kerana bimbang jika berlaku penularan di dewan peperiksaan. Justeru, kita mohon semua pihak dapat memberi kerjasama sebaiknya,” katanya.

Tinjauan SelangorKini di SMK Seksyen 7 mendapati rata-rata calon sudah tiba seawal jam 7 pagi tadi untuk mengambil peperiksaan bermula hari ini.


Pengarang :