Datuk Bandar Subang Jaya Dato’ Johary Anuar (tengah) meninjau dewan Masjid Putra Height yang dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) pada 7 Mac 2022. Foto Facebook MBSJ
PBTSELANGOR

755 mangsa banjir di Subang Jaya berlindung di tujuh pusat pemindahan

SHAH ALAM, 8 MAC : Seramai 755 mangsa banjir di Subang Jaya dipindahkan ke tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pagi tadi, kata Datuk Bandar.

Dato’ Johary Anuar berkata jumlah itu terdiri 187 keluarga dari Kampung Bersatu, Kampung Baru Sri Puchong, Kampung Sri Andalas, Kampung Tengah, Kampung Kenangan dan Kampung Sri Langkas

Menurutnya, PPS dibuka adalah Dewan Camelia Sek 10 Putra Heights, Dewan Kg Seri Aman, Dewan Puchong Jaya, Dewan Puchong Utama, Dewan Batu 3, Shah Alam, Masjid Putra Height dan Masjid Nur Huda

“Kesedaran penduduk dilihat bertambah baik memandangkan mereka sedia berpindah ke PPS lebih cepat mungkin kerana kesan trauma kejadian banjir Disember lalu memberi pengajaran.

“Namun, kita sedia maklum air mulai surut pagi tadi dan kebanyakan penduduk sudah mula pulang ke kediaman masing-masing untuk mencuci rumah mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Karnival Bazar Ramadan MBSJ 2022 di Dewan Serbaguna MBSJ Puchong Indah di sini hari ini.

Johari menambah pihaknya akan terus membuka PPS itu sehingga esok sebagai persediaan jika berlaku lagi kejadian bencana bah dan memberi perlindungan kepada mangsa terlibat.

“Kita turut membeli tiga bot tambahan untuk persiapan memindahkan mangsa banjir..kita akan menambah ia (bot) jika ada keperluan pada masa akan datang,” katanya.

Hujan lebat luar biasa kira-kira jam 3 petang semalam menyebabkan banyak kawasan di Kuala Lumpur Selangor dinaiki air.

Seramai 1,215 mangsa banjir ditempatkan di sembilan pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh Selangor setakat 11 pagi tadi.


Pengarang :