Seorang remaja menerima suntikan pelalian Covid-19 menerusi program Selvax Komuniti di Klinik Selcare, Seksyen 13 Shah Alam pada 3 November 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

91.1 peratus populasi remaja lengkap terima vaksin Covid-19

KUALA LUMPUR, 11 MAC: Sebanyak 2,834,807 individu atau 91.1 peratus daripada populasi remaja berusia 12 hingga 17 tahun di negara ini telah melengkapkan vaksinasi Covid-19, setakat semalam.

Berdasarkan data menerusi laman web CovidNow, sebanyak 2,934,891 individu atau 94.3 peratus daripada kumpulan itu pula sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagi populasi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun pula, sebanyak 1,097,425 individu atau 30.9 peratus telah menerima dos pertama vaksin Covid-19 melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids).

Sementara itu, bagi populasi dewasa, sejumlah 15,202,158 individu atau 64.6 peratus telah menerima dos penggalak Covid-19 manakala sejumlah 22,932,696 individu atau 97.5 peratus daripada populasi sama telah melengkapkan vaksinasi mereka dan 23,209,324 individu atau 98.7 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Vaksinasi harian semalam menyaksikan sebanyak 64,759 dos vaksin diberikan meliputi 20,178 dos pertama, 1,736 dos kedua dan 42,845 dos penggalak, menjadikan jumlah kumulatif dos vaksin yang diberikan di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sebanyak 68,002,567.

Sementara itu, menurut portal GitHub Kementerian Kesihatan, 70 kes kematian akibat Covid-19 direkodkan semalam dengan Perak merekodkan angka tertinggi iaitu 20 kes, diikuti Selangor (11), Johor (10) dan Kelantan (sembilan).

Kedah merekodkan tujuh kes, Negeri Sembilan dan Sabah masing-masing empat kes, Pahang (tiga) manakala masing-masing satu kes di Perlis dan Terengganu.

– BERNAMA


Pengarang :